JELATANG, BIBLE & KEBENARAN
Alhamdulillah, sudah lama tidak menulis, semangat untuk menulis datang kembali. Memang susah untuk beristiqamah dalam sesetengah perkara. Maaf kepada pembaca yang menunggu sekian lama. Sebelum menulis topik-topik yang lebih mendalam, saya terpanggil untuk memberi pendapat kepada sebuah tulisan yang ditulis diblog 'Satuhala'. Posting yang bertajuk 'Drama Jelatang & Bible....Apa Kaitannya?' inilah yang akan dibincang pada posting kali ini.Penulis 'Satuhala' adalah seorang yang berilmu. Saya secara peribadi berasa kagum dengan ilmu yang ada pada beliau. Banyak ilmu baru yang diperolehi ketika membaca blog tersebut.Namun sesiapa saja tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan sebagai manusia juga, kita kadang-kala bertindak tidak adil kepada orang lain tanpa kita sedari. Sebelum meneruskan pembacaan, diminta pembaca terlebih dahulu membaca posting diblog 'Satuhala' kerana saya akan banyak merujuk kepada posting tersebut. KLIK
Sememangnya saya akui bahawa dialog yang digunakan dalam drama Jelatang tersebut mempunyai ayat dan maksud yang lebih kurang sama dengan ayat yang terdapat di dalam Gospel of Luke 11:11-12.
"Which of you fathers, if your son asks for a fish will give him a snake instead? Or if he ask for an egg, will give him a scorpion?"
Alhamdulillah saya bersama seorang sahabat saya mendapat peluang yang sangat berharga kerana telah berkesempatan untuk bersemuka dengan penulis skrip drama Jelatang ini. Pada pertemuan itu, penulis skrip tersebut menceritakan latar belakang,kisah hidup beliau dan juga apa yang dihadapinya kini. Saya tidak dapat menceritakan apa yang berlaku semasa duduk berbincang dengan penulis skrip tersebut atas dasar amanah dan menjaga kehormatan beliau. Dipendekkan, setelah mengetahui kisah sebenar dan keadaan yang dihadapi beliau, saya tanpa ada sedikit keraguan merasakan ketidakadilan telah menimpa penulis skrip ini. Posting di dalam blog 'Satuhala' telah membuatkan pekerjaan penulis skrip ini digantung oleh stesen televisyen yang menyiarkan drama Jelatang. Tahukah bahawa penulis skrip ini merupakan ibu tunggal kepada dua orang anak?Tahukah bahawa dengan menulis skrip beliau menyara dua orang anaknya? Dan dengan rezeki ini juga penulis skrip menghantar anaknya ke sekolah agama dengan harapan anak-anaknya akan menjadi Muslim yang beriman. Namun yang paling penting sekali, adakah penulis 'Satuhala' mengetahui dan mencari kebenaran terhadap apakah keadaan sebenar yang berlaku sebelum penulis 'Satuhala' membuat keputusan untuk menulis posting tersebut?
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan" - Al Hujraat ayat 6
Ditegaskan oleh Allah S.W.T supaya kita menyiasat sesuatu perkara terlebih dahulu akan kebenarannya agar kelak kita tidak menyesali tindakan yang dilakukan. Ini lebih menyedihkan jika kita membuatkan orang lain berada dalam kesusahan. Saya percaya penulis blog 'Satuhala' merupakan seorang yang sangat prihatin. Walaupun posting tersebut tidak merujuk kepada sesiapa, orang yang mendapat kesan posting tersebut adalah penulis skrip tersebut. Penulis skrip tersebut adalah seorang Muslim yang berusaha untuk menjadi Muslim yang lebih baik, sama seperti kita semua. Daripada blog 'Satuhala' hinggalah kepada forum Cari.com ramai yang mengatakan ini adalah dakyah Kristian. Lebih menyedihkan penulis skrip tersebut telah dituduh sebagai Kristian yang mahu menyebarkan dakyah Kristian hanya kerana posting tersebut. Adakah di dalam Islam kita dibenarkan menuduh saudara sesama Muslim menyebarkan dakyah Kristian? Tidakkah sama seperti kita menuduh saudara kita itu sebagai kafir? Ingatlah, janganlah kita sewenang-wenangnya menuduh mana-mana Muslim sebagai kafir kerana kebenarannya adalah, samada yang dituduh benar-benar kafir atau yang menuduh itu yang kafir. Jika ditanya adakah penulis skrip tersebut diberi keadilan disini? Saya menjawab tidak! Penulis 'Satuhala' berasa amat kecewa kerana ramai pembaca postingnya yang membuat kesimpulan secara melulu tanpa membaca keseluruhan posting tersebut. Saya dan penulis 'Satuhala' juga (saya percaya) berasa amat kecewa jika sesuatu perkara itu dibuat kesimpulan terlalu awal tanpa mengetahui hal sebenar.
DISIPLIN ILMU ISRAELLIYAT
Ayat Gospel of Luke 11:11-12 yang telah digunakan tidak membawa apa-apa masalah kerana DUA ayat yang digunakan dalam drama tersebut menunjukkan kasih sayang seorang ibu/bapa kepada anaknya. Adakah dengan menggunakan ayat ini membuatkan akidah boleh terpesong? Jika satu ayat di dalam Bible diambil dimana ayat itu mengatakan "Janganlah mencuri!", adakah aqidah kita akan terpesong kerana menggunakan ayat tersebut? Jawapannya tidak, kerana Al-Quran & Sunnah bersetuju bahawa manusia tidak sepatutnya mencuri. Sama halnya di dalam kasih sayang seorang ibu/bapa.
"Janganlah kamu mempercayai Ahli Kitab dan janganlah pula mendustai mereka, katakanlah kami beriman kepada Allah dan kepada kitab yang diturunkan kepada kami." (Sahih Bukhari, Hadis 4485)
Hadis di atas menunjukkan secara jelas bahawa Muslim tidak boleh mempercayai Ahli Kitab (Yahudi & Kristian) dan pada masa yang sama kita tidak boleh menolak secara penuh terhadap apa yang dikatakan mereka. Ini kerana terdapat apa yang dipetik daripada kitab-kitab mereka, disokong oleh Al-Quran & As-Sunnah.
Hadis riwayat Abdullah bin Umar: Dia berkata: Bahawa seorang lelaki dan perempuan Yahudi yang telah berzina dihadapkan kepada Rasulullah S.A.W. Lalu berangkatlah Rasulullah S.A.W sampai beliau bertemu dengan orang-orang Yahudi dan bertanya: Apakah hukuman yang kalian dapatkan dalam Taurat bagi orang yang berzina? Mereka menjawab: Kami akan mencorenghitamkan muka keduanya, lalu menaikkan keduanya ke atas tunggangan lalu menghadapkan mukanya masing-masing kemudian keduanya diarak. Baginda bersabda: Datangkanlah kitab Taurat, jika kalian benar. Kemudian mereka membawa kitab Taurat lalu membacakannya hingga ketika mereka sampai pada ayat rejam, pemuda yang membaca itu meletakkan tangannya di atas ayat rejam itu dan hanya membaca ayat yang sebelum dan sesudahnya. Lalu Abdullah bin Salam yang ikut bersama Rasulullah S.A.W berkata kepada beliau: Perintahkanlah ia untuk mengangkat tangannya. Pemuda itu lalu mengangkat tangannya dan setengah di bawah tangannya itu adalah ayat rejam. Kemudian Rasulullah S.A.W memerintahkan keduanya penzina itu dirajam. Lebih lanjut Abdullah Ibn Umar berkata: Aku termasuk orang yang merejam mereka berdua. Aku melihat yang laki-laki melindungi yang perempuan dari lemparan batu dengan dirinya sendiri. - Riwayat Muslim
Hadis di atas secara tidak langsung menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W tidak mempunyai apa-apa masalah untuk melaksanakan hukum rejam yang termaktub di dalam Taurat kerana hukum tersebut selari dengan ajaran Islam. Mengapakah Rasulullah S.A.W tidak menghalang Ibn Umar daripada merejam penzina tersebut jika benar mengambil dan melaksanakan ayat daripada kitab lain adalah dilarang?
"Sampaikanlah daripadaku sekalipun satu ayat, riwayatkanlah daripada Bani Israil, tiada salahnya. Sesiapa melakukan pendustaan terhadapku dengan sengaja, maka hendaklah ia menyiapkan tempatnya dalam neraka." (Sahih Bukhari, Hadis 3461)
Ulama' telah mengeluarkan disiplin ilmu berkenaan perkara-perkara yang diambil daripada sumber Israilliyyat (Yahudi & Kristian). Berkata Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah Rahimahullah: Israilliyyat dapat dibahagikan kepada tiga bahagian:
Pertama: Israiliyyat yang selari dengan apa yang ada di dalam sumber Islam iaitu Al-Quran dan As-Sunnah yang sahih.Contoh: Riwayat yang menyebut rakan seperjalanan Nabi Musa A.S ialah Khidir. Umur Nabi Adam A.S ketika baginda wafat, hukum-hukum agama seperti rejam kepada penzina.Ini juga termasuklah akhlak-akhlak yang baik.
Kedua: Israiliyyat yang bercanggah dengan al-Quran dan As-Sunnah.Contoh: Cerita malaikat Harut dan Marut yang terlibat dengan dosa besar seperti meminum arak, berzina dan membunuh.Keadaan fizikal Nabi Ayyub A.S ketika dia didatangi penyakit.
Ketiga: Israiliyyat yang tidak dapat dipastikan statusnya (maskut anhu).Tidak dijelaskan Al-Quran & As-Sunnah.Contoh: Riwayat-riwayat yang menyebut bahagian anggota lembu yang diambil untuk memukul si mati dalam kisah Bani Israil."
Islam tidak mempunyai masalah pada pembahagian pertama kerana disokong oleh Al-Quran & As-Sunnah. Islam menolak pembahagian kedua kerana bercanggah dengan Al-Quran & As-Sunnah. Manakala untuk pembahagian ketiga, Islam memilih untuk berdiam (Keep In View, KIV). - (Ibnu Taimiyyah,Muqaddimah Dalam Usul Tafsir, m/s 100. Penjelasan dibuat oleh penulis blog ini.)
Berbalik kepada dialog yang digunakan dalam drama Jelatang. Dimanakah ayat Gospel of Luke 11:11-12 akan diletak daripada tiga pembahagian di atas? Penulis 'Satuhala' mengatakan ayat ini menceritakan bahawa bagaimana God the Father (Tuhan Bapa) menyayangi anak-anakNya. Ini juga dapat membawa kepada rosaknya aqidah seseorang jika silap haribulan. Untuk pengetahuan semua ayat tersebut langsung tidak menyentuh konsep ketuhanan agama Kristian. Ayat tersebut menceritakan bagaimana sayangnya Tuhan kepada anak-anakNya. Lalu Jesus Christ memberikan analogi bagaimanakah kasihnya seorang bapa kepada anaknya. Seorang bapa tidak mungkin akan membahayakan anaknya dengan memberikan ular atau kala jengking, sedangkan anaknya itu meminta makanan. Ini adalah kasih sayang dan akhlak seorang bapa kepada anaknya. Adakah kasih sayang seorang bapa kepada anaknya bertentangan dengan ajaran Islam? Jika nilai-nilai kemanusiaan boleh diambil daripada penulisan Confucius, mengapa nilai kemanusian yang diceritakan oleh Jesus Christ di dalam Bible tidak boleh diterima? Nilai kemanusiaan langsung tidak mengganggu aqidah seseorang Muslim.
Al-Quran & As-Sunnah adalah dua sumber paling tinggi disisi Islam. Dua sumber ini merupakan 'benchmark' atau kayu ukur kepada sesuatu kebenaran. Jika terdapat ayat di dalam Bible,Vedas dan Kitab Buddha yang selari dengan Al-Quran & As-Sunnah adakah salah kita menggunakannya? Ada satu ayat di dalam Bible yang digunakan Jesus Christ, Gospel of John 8:32
"Seek the truth and the truth and the truth will set you free"
Bukankan ayat ini sama seperti dengan Surah Al-Hujraat ayat 6. Kedua-dua ayat tersebut menyuruh agar manusia mencari kebenaran.Saya bersetuju jika ada orang mengatakan, mengapa tidak digunakan ayat daripada Al-Quran & As-Sunnah sahaja di dalam dialog tersebut. Adakah Al-Quran & As-Sunnah tidak cukup? Al-Quran & As-Sunnah sudah cukup bagi manusia.Apa yang cuba disampaikan adalah, janganlah kita terlalu memandang sesuatu perkara itu secara sempit dan jangan terlalu pantas membuat kesimpulan terhadap sesuatu yang kita belum pasti. Jika dialog drama Jelatang menggunakan ayat yang mengandungi unsur-unsur ketuhanan selain yang ada di dalam Islam (sedangkan watak tersebut adalah seorang Islam), saya menyokong jika penulis 'Satuhala' ingin melakukan pencerahan. Kerana di dalam hal aqidah, kita tidak berkompromi dengan mana-mana pihak.
Sebelum saya mengakhiri posting kali ini, saya mendapati komen-komen daripada pembaca posting 'Satuhala' dan Cari.com bagai menyalahkan penulis skrip tersebut. Mengapa mesti beliau menggunakan ayat daripada Bible ke dalam dialog tersebut? Persoalan yang ingin saya timbulkan adalah, bagaimana jika beliau tidak pernah membaca Bible, tidak ada keinginan untuk memasukkan ayat tersebut dan dia tidak tahu ayat yang digunakan untuk dialog itu adalah berasal daripada Bible? Mungkin penulis skrip tersebut pernah terbaca ayat Gospel of Luke 11:11-12 tersebut daripada buku motivasi keluarga yang dibelinya (dimana buku motivasi itu ditulis oleh pengarang Kristian), lalu ketika menulis skrip untuk drama Jelatang, beliau merasakan ayat tersebut sesuai untuk "scene" dalam drama tersebut tanpa menyedari ayat tersebut berasal daripada Bible. Adakah wujud kemungkinan seperti ini? Fikirkanlah.
Saya tidak berpihak kepada sesiapa. Saya cuma berpihak kepada kebenaran, iaitu Islam. Cuma saya berasa amat sedih atas apa yang menimpa penulis skrip tersebut. Saya juga tidak sesekali mahu mencari musuh dengan mana-mana pihak. Penulis 'Satuhala' adalah penulis yang baik.Penulisan beliau penuh dengan analogi dan dalil (inilah yang terbaik!). Saya merasakan banyak ilmu yang dapat saya dan penulis 'Satuhala' kongsi antara satu sama lain kerana saya merasakan kami berdua mempunyai minat yang lebih kurang sama. Saya juga percaya penulis 'Satuhala' turut bersimpati dengan apa yang menimpa penulis skrip tersebut setelah membaca posting ini. Sama-sama kita berdoa agar penulis skrip tersebut dapat melalui saat genting ini dan mendapat kembali kerja beliau agar ibu tunggal ini dapat meneruskan hidup sebagai Muslim bersama anak-anak yang beliau sayangi. Apa yang ditulis disini tidak penting, apa yang ditulis penulis 'Satuhala' tidak penting. Apa yang penting adalah kebenaran disebalik perkara ini.Wallhua'alam.
P/S: Credit to Bro.Yussamir for helping to find the hadith